Thursday 22 January 2015

Ayam Masak Merah

RESEPI


Ayam Masak Merah

Ayam masak merah...siapa yang tak suka kan? Cuma kalau pergi kenduri tu, ada macam-macam rasa. Ada yang pedas, ada yang rasa masam manis, ada yang pedas manis dan ada-ada saja....hahaha...

Resepi kali ini saya menggunakan resepi yang saya cuba berkali-kali mengikut pelbagai resepi orang di blog-blog dan di buku-buku masakan. Akhirnya saya dapat membuat kesimpulan untuk mencuba sendiri resepi yang bila saya masak, anak-anak saya kata..........."Ibu, nak lagi!"...yang membuatkan saya semangat nak masak lagi...hehehe...betul tak kawan-kawan?

Dalam resepi ini saya gunakan elemen gula pasir/putih. Boleh digantikan dengan gula merah atau gula melaka atau madu. Saya tidak gunakan sos cili kerana saya tidak suka rasa yang pedas. Memadai hanya menggunakan cili kering yang direbus dan dikisar halus.


Ayam Goreng

Bahan-bahan

  1. 1/2 ekor ayam - dipotong 14
  2. 1 sudu besar serbuk kunyit
  3. 1 sudu besar serbuk kari daging
  4. Minyak Masak - kuantiti minyak perlulah apabila menggoreng ayam, ayam tenggelam sekurang-kurangnya separuh bahagian
  5. Garam secukup rasa

Cara-cara

  1. Basuh ayam bersih-bersih. Buang lemak-lemak. Kalau nak sihat, kulit pun buang. Sebelum basuh baca bismillah dan semasa membasuh baca selawat Nabi Muhammad. Kalau rajin baca Surah Insyirah.
  2. Toskan ayam dan salinkan pada bekas yang bersih.
  3. Masukkan serbuk kunyit, serbuk kari dan garam kepada ayam yang ditos. Biarkan seketika. Lagi lama lagi baik sebab rempah akan menyerap masuk ke dalam daging ayam. 
  4. Di dalam kuali, panaskan minyak dengan api sederhana. 
  5. Apabila minyak sudah panas, masukkan ayam satu per satu. Jangan humban semua dalam kuali...aduih! Sehingga tidak terlalu penuh dalam kawasan tenggelaman minyak. 
  6. Biarkan ayam digoreng 3/4 masak. Lebih kurang dalam 5 minit, terbalikkan ayam. Tunggu lagi dalam 2-3 minit. Angkat dan toskan minyak berlebihan. Caranya, gunakan kertas surat khabar lama atau tisu dapur, alaskan pada bekas ayam yang sudah diangkat. Jangan kuatkan api! Masak kena sabar, kalau tidak sama ada hangus atau bahagian dalam ayam kurang masak. Ok, sudah siap.
  7. Ulangi langkah 5-6 sehingga ayam yang diperap habis digoreng.

Ayam Masak Merah

Bahan-bahan

  1. 4 sudu besar Minyak Masak
  2. Rempah 3 Sekawan (1 batang Kulit Kayu Manis, 2 kuntum Bunga Lawang, 2 biji Buah Pelaga) 
  3. 5 Bawang Merah - dikisar halus
  4. 3 Bawang Putih - dikisar halus 
  5. 3 sudu besar cili kisar (cili kering direbus dan dikisar halus) 
  6. 1 sudu besar gula pasir
  7. 2 sudu besar sos tomato
  8. Sedikit air (jika suka untuk kuah)
  9. 2 biji Bawang Besar - dibelah dua dan dihiris bulat 
  10. Garam secukup rasa (jangan banyak sebab ayam goreng telah bergaram)

Cara-cara

  1. Di dalam kuali (dibasuh kuali tadi dan tuangkan minyak untuk menumis atau gunakan sahaja kuali dan minyak yang sama), panaskan minyak. 
  2. Masukkan rempah 3 sekawan dan kacau hingga naik bau.
  3. Masukkan bawang merah dan bawang putih yang dikisar halus. Kacau sehinggan bau wangi.
  4. Masukkan cili kisar dan kacau lagi sehingga cili masak dalam 2-3 minit. 
  5. Masukkan sos tomato, gula dan sedikit air (berkuah jika suka, jangan banyak). 
     
  6. Masak seketika sehingga mendidih.
  7. Masukkan ayam goreng dan kacau sebati. 
  8. Perasakan dengan garam.
  9. Masukkan hirisan bawang besar dan kacau. Masak sehingga bawang sedikit layu. 
  10. Tutup api. Bolehlah dihidang.

Dalca Sayur

RESEPI

Dalca Sayur


Salah satu kegemaran arwah ayah dan kami sekeluarga adalah masakan ala India. Arwah ayah membeli satu buku resepi berbahasa Inggeris di salah sebuah kedai buku terkemuka di ibu kota Kuala Lumpur. Membaca adalah hobinya dan menyuruh mak memasakkan resepi yang dijumpanya juga hobinya....hehehe....tetapi kali ini, resepi ini dapat menambat hati Abang Shah (jiran yang berniaga roti canai - pada suatu ketika dulu-) dengan masakan tersebut. Buku asal masih disimpan di rumah mak saya. Walau bagaimanapun arwah ayah tidak keberatan berkongsi resepi ini...hehehe...walaupun ..."pergi fotostat, dapat kat korang hilang!..."....hehehe...



Resepi yang ingin saya kongsikan di bawah adalah kombinasi versi resepi ayah dan resepi yang pernah saya cuba sebelum ini. Resepi ini tidak saya masukkan cili kering dan serbuk cili yang sepatutnya ditumis sekali bersama-sama bahan di dalam kuali disebabkan oleh saya tidak suka pedas. Boleh juga kurangkan kuantiti serbuk kari jika suka. Masakan ini sesuai untuk kanak-kanak.

Masakan dalca sayur ini juga lebih sedap sekiranya dipanaskan kembali pada keesokkan harinya. Ini adalah kemungkinan rempah ratus telah serasi dan sebati. Kata orang lagi lama lagi sedap...tu yang bila kita pergi ke kedai mamak depa dok top up kuah...tak delah...gurau jer!

Bahan-bahan

  1. 4 sudu besar Minyak Masak
  2. 3 ulas Bawang merah - Dihiris Halus
  3. 3 ulas Bawang putih - Dihiris Halus
  4. 1 inci Halia - Dihiris Halus 
     
     
  5. Rempah 3 sekawan (1 batang Kulit Kayu Manis, 2 kuntum Bunga Lawang dan 3 biji Buah Pelaga) 
  6. 1 sudu kecil Jintan Manis 
  7. 1 sudu kecil Halba Campur 
  8. 2 tangkai Daun Kari - diasingkan dari tangkainya 
  9. 1 sudu kecil Serbuk Kunyit 
  10. 1 sudu besar Serbuk Kari Daging - dibancuh sedikit air dan 1 sudu kecil pes asam jawa
  11. 100 g Kacang Dhal (direndam semalaman) 
  12. 2 biji Ubi Kentang - dibelah 6 
  13. 1 biji Buah Tomato - dibelah 6 
  14. 1/2 biji Terung Panjang - dibelah kecil-kecil 
  15. 5 urat Kacang Panjang - dipotong sederhana panjang  
  16. 1 biji Lobak Merah - dipotong kecil-kecil 
  17. 5 biji Kacang Bendi 
  18. 200 g pati Santan 
  19. Garam dan Gula secukup rasa
*Pilihan : Arwah ayah memasukkan stok rebusan tulang sebagai tambahan dan mengurangkan kuantiti air yang digunakan untuk merebus dalca sayuran. Boleh juga masukkan stok ayam atau daging sebagai gantian.

Cara-caranya


  1. Basuh kacang dhal sehingga tiada lagi kelihatan keruh airnya. Rendam semalaman. Buang air rendaman dan toskan.
  2. Didihkan air di dalam periuk. Air mestilah 200% daripada kandungan campuran kacang dal, ubi kentang dan lobak merah. Masukkan kacang dhal, ubi kentang dan lobak merah ke dalam didihan air. Rebus sehingga kacang dhal, ubi kentang dan lobak merah empuk. Sekali sekala kacau rebusan di dalam periuk. Api hendaklah sederhana. 
  3. Masukkan serbuk kunyit dan kacau lagi sehingga mendidih semula.
  4. Di dalam kuali berasingan, panaskan minyak. 
  5. Tumis jintan manis, halba campur, rempah 3 sekawan, bawang merah, bawang putih dan halia yang dihiris. Tumis sehingga naik bau, masukkan daun kari. Tumis sehingga bawang berwarna kuning keemasan. 
     
     
     
  6. Masukkan serbuk kari yang telah dicampur dengan air asam jawa. Kacau sehingga pecah minyak dan tutup api.
  7. Masukkan semua tumisan di dalam kuali ke dalam periuk yang mengandungi rebusan kacang dhal, ubi kentang dan lobak merah. Tunggu sehingga mendidih. 
  8. Masukkan pati santan, kacau dan didihkan seketika.
  9. Setelah mendidih, masukkan semua sayuran (terung, kacang panjang, kacang bendi dan buah tomato). Kacau rata dan didihkan sehingga semua sayuran empuk.
     
     
  10. Akhir sekali perasakan dengan garam dan gula. Kacau dan biarkan seketika dalam 2-3 minit dan bolehlah dihidang. 


Selamat Mencuba!...

Nasi Hujan Panas

Resepi 


Nasi Hujan Panas

Khabarnya nasi hujan panas ini berasal dari negeri Terengganu. Pertama kali saya menjamahnya semasa saya mengikuti kursus anjuran salah sebuah organisasi GLC. Pengusaha katering merangkap pengusaha kantin organisasi tersebut telah membuatkan saya mencari-cari resepi masakan ini. Jom! Kita ikuti resepi Nasi Hujan Panas. Untuk pengetahuan semua, saya telah mencuba pelbagai resepi dan resepi ini paling menjadi. Asalnya resepi ini saya jumpa di Majalah Rasa (Edisi Bumper) Mei 2012. Dan yang paling menarik, resepi ini tidak memerlukan garam, gula dan susu cair!

Majalah Rasa (Edisi Bumper) Mei 2012

Resepi Asal Nasi Hujan Panas Ramm


Bahan-bahan

  1. 4 pot Beras Basmati/Beras Biasa (*pot yang saya gunakan adalah yang telah disediakan oleh pembekal periuk rice cooker Panasonic - kecil) 
  2. 2 sudu besar Minyak Sapi 
  3. 3 sudu besar Minyak Masak
  4. 3 ulas Bawang Merah - Hiris halus
  5. 3 ulas Bawang Putih - Hiris halus
  6. 1 inci Halia - Hiris halus 
  7. Rempah 4 Sekawan (1 batang Kulit Kayu Manis, 2 kuntum Bunga Lawang, 3 kuntum Buah Pelaga dan 3 biji Bunga Cengkih) 
  8. 2 Kiub Ayam (Knor) 
  9. 1 helai Daun Pandan
  10. Air untuk memasak nasi (sukatan biasa memasak nasi putih)
Dalam masakan ini, garam dan gula tidak diperlukan kerana sudah ada rasa di kuib pati ayam.

Cara-Caranya

  1. Basuh beras (3 kali basuhan, dipusingkan ke arah lawan jam semasa membasuh beras dan bacalah Bismillah, selawat ke atas Nabi Muhammad serta bacakan Surah Insyirah sambil membasuh beras) dan toskan.
  2. Isikan air bersih ke dalam beras seperti mana sukatan memasak nasi putih biasa. Letakkan ke dalam rice cooker dan hidupkan elektrik.
  3. Di dalam kuali, hidupkan api sederhana, biarkan kuali panas. 
  4. Tuangkan minyak masak ke dalam kuali dan masukkan minyak sapi. Cairkan minyak sapi di dalam minyak. (*Supaya minyak sapi tidak hangus iaitu berwarna coklat) 
  5. Masukkan rempah 4 sekawan dan biarkan seketika sehingga naik bau. 
  6. Masukkan bawang merah, bawang putih dan halia yang dihiris halus. Kacau seketika sehingga naik bau. 
  7. Masukkan daun pandan. Kacau lagi ramuan di dalam kuali sehingga bawang bertukar menjadi kuning keemasan. 
  8. Dengan segera, alihkan semua ramuan di dalam kuali dan masukkannya ke dalam rice cooker yang sedang memasak beras tadi dan kacau sebati. 
  9. Masukkan pula kiub pati ayam Knor, pecah dan leraikan kiub pati ayam supaya rata di dalam rice cooker. Kacau sebati. 
  10. Tutup rice cooker dan biarkan nasi masak seperti biasa. 
  11. Setelah masak, serih nasi dan biarkan dalam 5 minit untuk keringkannya.
  12. Setelah 5 minit, buka penutup rice cooker. 
  13. Buat 3 lubang dengan hujung sudu di nasi yang sudah masak. Titiskan sebanyak 1 titis pewarna hijau pada lubang pertama. Titiskan sebanyak 1 titis pewarna pink pada lubang kedua. Titiskan sebanyak 1 titis pewarna kuning pada lubang ketiga.  
  14. Kaub balikkan nasi. (* Jangan kacau rata dan sebati, cukup sekadar kaub balik sahaja). 
  15. Biarkan lagi selama 2-3 minit.
  16. Nasi sudah sedia dihidang. (*kalau suka boleh tambah kismis atau gajus goreng) 
Selamat mencuba!...