RESEPI
Ayam Masak Merah
Ayam masak merah...siapa yang tak suka kan? Cuma kalau pergi kenduri tu, ada macam-macam rasa. Ada yang pedas, ada yang rasa masam manis, ada yang pedas manis dan ada-ada saja....hahaha...
Resepi kali ini saya menggunakan resepi yang saya cuba berkali-kali mengikut pelbagai resepi orang di blog-blog dan di buku-buku masakan. Akhirnya saya dapat membuat kesimpulan untuk mencuba sendiri resepi yang bila saya masak, anak-anak saya kata..........."Ibu, nak lagi!"...yang membuatkan saya semangat nak masak lagi...hehehe...betul tak kawan-kawan?
Dalam resepi ini saya gunakan elemen gula pasir/putih. Boleh digantikan dengan gula merah atau gula melaka atau madu. Saya tidak gunakan sos cili kerana saya tidak suka rasa yang pedas. Memadai hanya menggunakan cili kering yang direbus dan dikisar halus.
Ayam Goreng
Bahan-bahan
- 1/2 ekor ayam - dipotong 14
- 1 sudu besar serbuk kunyit
- 1 sudu besar serbuk kari daging
- Minyak Masak - kuantiti minyak perlulah apabila menggoreng ayam, ayam tenggelam sekurang-kurangnya separuh bahagian
- Garam secukup rasa
Cara-cara
- Basuh ayam bersih-bersih. Buang lemak-lemak. Kalau nak sihat, kulit pun buang. Sebelum basuh baca bismillah dan semasa membasuh baca selawat Nabi Muhammad. Kalau rajin baca Surah Insyirah.
- Toskan ayam dan salinkan pada bekas yang bersih.
- Masukkan serbuk kunyit, serbuk kari dan garam kepada ayam yang ditos. Biarkan seketika. Lagi lama lagi baik sebab rempah akan menyerap masuk ke dalam daging ayam.
- Di dalam kuali, panaskan minyak dengan api sederhana.
- Apabila minyak sudah panas, masukkan ayam satu per satu. Jangan humban semua dalam kuali...aduih! Sehingga tidak terlalu penuh dalam kawasan tenggelaman minyak.
- Biarkan ayam digoreng 3/4 masak. Lebih kurang dalam 5 minit, terbalikkan ayam. Tunggu lagi dalam 2-3 minit. Angkat dan toskan minyak berlebihan. Caranya, gunakan kertas surat khabar lama atau tisu dapur, alaskan pada bekas ayam yang sudah diangkat. Jangan kuatkan api! Masak kena sabar, kalau tidak sama ada hangus atau bahagian dalam ayam kurang masak. Ok, sudah siap.
- Ulangi langkah 5-6 sehingga ayam yang diperap habis digoreng.
Ayam Masak Merah
Bahan-bahan
- 4 sudu besar Minyak Masak
- Rempah 3 Sekawan (1 batang Kulit Kayu Manis, 2 kuntum Bunga Lawang, 2 biji Buah Pelaga)
- 5 Bawang Merah - dikisar halus
- 3 Bawang Putih - dikisar halus
- 3 sudu besar cili kisar (cili kering direbus dan dikisar halus)
- 1 sudu besar gula pasir
- 2 sudu besar sos tomato
- Sedikit air (jika suka untuk kuah)
- 2 biji Bawang Besar - dibelah dua dan dihiris bulat
- Garam secukup rasa (jangan banyak sebab ayam goreng telah bergaram)
Cara-cara
- Di dalam kuali (dibasuh kuali tadi dan tuangkan minyak untuk menumis atau gunakan sahaja kuali dan minyak yang sama), panaskan minyak.
- Masukkan rempah 3 sekawan dan kacau hingga naik bau.
- Masukkan bawang merah dan bawang putih yang dikisar halus. Kacau sehinggan bau wangi.
- Masukkan cili kisar dan kacau lagi sehingga cili masak dalam 2-3 minit.
- Masukkan sos tomato, gula dan sedikit air (berkuah jika suka, jangan banyak).
- Masak seketika sehingga mendidih.
- Masukkan ayam goreng dan kacau sebati.
- Perasakan dengan garam.
- Masukkan hirisan bawang besar dan kacau. Masak sehingga bawang sedikit layu.
- Tutup api. Bolehlah dihidang.
No comments:
Post a Comment