Thursday, 22 January 2015

Nasi Hujan Panas

Resepi 


Nasi Hujan Panas

Khabarnya nasi hujan panas ini berasal dari negeri Terengganu. Pertama kali saya menjamahnya semasa saya mengikuti kursus anjuran salah sebuah organisasi GLC. Pengusaha katering merangkap pengusaha kantin organisasi tersebut telah membuatkan saya mencari-cari resepi masakan ini. Jom! Kita ikuti resepi Nasi Hujan Panas. Untuk pengetahuan semua, saya telah mencuba pelbagai resepi dan resepi ini paling menjadi. Asalnya resepi ini saya jumpa di Majalah Rasa (Edisi Bumper) Mei 2012. Dan yang paling menarik, resepi ini tidak memerlukan garam, gula dan susu cair!

Majalah Rasa (Edisi Bumper) Mei 2012

Resepi Asal Nasi Hujan Panas Ramm


Bahan-bahan

  1. 4 pot Beras Basmati/Beras Biasa (*pot yang saya gunakan adalah yang telah disediakan oleh pembekal periuk rice cooker Panasonic - kecil) 
  2. 2 sudu besar Minyak Sapi 
  3. 3 sudu besar Minyak Masak
  4. 3 ulas Bawang Merah - Hiris halus
  5. 3 ulas Bawang Putih - Hiris halus
  6. 1 inci Halia - Hiris halus 
  7. Rempah 4 Sekawan (1 batang Kulit Kayu Manis, 2 kuntum Bunga Lawang, 3 kuntum Buah Pelaga dan 3 biji Bunga Cengkih) 
  8. 2 Kiub Ayam (Knor) 
  9. 1 helai Daun Pandan
  10. Air untuk memasak nasi (sukatan biasa memasak nasi putih)
Dalam masakan ini, garam dan gula tidak diperlukan kerana sudah ada rasa di kuib pati ayam.

Cara-Caranya

  1. Basuh beras (3 kali basuhan, dipusingkan ke arah lawan jam semasa membasuh beras dan bacalah Bismillah, selawat ke atas Nabi Muhammad serta bacakan Surah Insyirah sambil membasuh beras) dan toskan.
  2. Isikan air bersih ke dalam beras seperti mana sukatan memasak nasi putih biasa. Letakkan ke dalam rice cooker dan hidupkan elektrik.
  3. Di dalam kuali, hidupkan api sederhana, biarkan kuali panas. 
  4. Tuangkan minyak masak ke dalam kuali dan masukkan minyak sapi. Cairkan minyak sapi di dalam minyak. (*Supaya minyak sapi tidak hangus iaitu berwarna coklat) 
  5. Masukkan rempah 4 sekawan dan biarkan seketika sehingga naik bau. 
  6. Masukkan bawang merah, bawang putih dan halia yang dihiris halus. Kacau seketika sehingga naik bau. 
  7. Masukkan daun pandan. Kacau lagi ramuan di dalam kuali sehingga bawang bertukar menjadi kuning keemasan. 
  8. Dengan segera, alihkan semua ramuan di dalam kuali dan masukkannya ke dalam rice cooker yang sedang memasak beras tadi dan kacau sebati. 
  9. Masukkan pula kiub pati ayam Knor, pecah dan leraikan kiub pati ayam supaya rata di dalam rice cooker. Kacau sebati. 
  10. Tutup rice cooker dan biarkan nasi masak seperti biasa. 
  11. Setelah masak, serih nasi dan biarkan dalam 5 minit untuk keringkannya.
  12. Setelah 5 minit, buka penutup rice cooker. 
  13. Buat 3 lubang dengan hujung sudu di nasi yang sudah masak. Titiskan sebanyak 1 titis pewarna hijau pada lubang pertama. Titiskan sebanyak 1 titis pewarna pink pada lubang kedua. Titiskan sebanyak 1 titis pewarna kuning pada lubang ketiga.  
  14. Kaub balikkan nasi. (* Jangan kacau rata dan sebati, cukup sekadar kaub balik sahaja). 
  15. Biarkan lagi selama 2-3 minit.
  16. Nasi sudah sedia dihidang. (*kalau suka boleh tambah kismis atau gajus goreng) 
Selamat mencuba!...

1 comment:

  1. Selamat hari raya..harini nk try resepi ini.. jmput singgah blog saya ea dirawanhartawan.blogsport.com.my

    ReplyDelete